Sunday 14 July 2013

Kaedah Mudah Khatam Al-Quran Dalam 30 Hari

Khatam Al-Quran sekurang-kurangnya dua kali dalam setahun adalah tuntutan kepada semua umat islam. Amalan membaca al-quran bukanlah hanya sampai khatam sahaja, malah cara bacaannya harus betul dan amat digalakkan untuk memahami maksud ayat-ayat yang terkandung di dalamnya. Sudah dijanjikan Allah SWT, sesiapa yang membaca al-quran akan diberikan ganjaran pahala yang lumayan apatah lagi membacanya dalam bulan Ramadhan bulan yang mulia. Di sini dikongsi sedikit cara mengkhatam al-Quran dalam tempoh hanya 30 hari sahaja terutamanya apabila berada dalam Bulan Ramadhan. Cara ini adalah cara yang paling mudah, praktikal, tidak membebankan dan tidak mustahil dicapai oleh semua. Hanya perlukan keazaman, kerajinan dan istiqamah.

Berikut caranya :

1. Dalam Al-Quran Mus-haf Uthmani, setiap juzuk Al-Quran telah dicetak dengan ayat-ayat Al-Quran sebanyak 20 muka surat. Bermakna setiap juzuk ada 20 muka surat.

2. Kita bahagikan 20 muka surat itu kepada 5, iaitu bilangan solat fardhu: Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib dan Isya’. 20÷5=4. Bermakna setiap solat fardhu, kita hanya membaca 4 muka surat.

3. Bagi meringankan lagi, kita bahagikan 4 muka surat itu kepada 2 bahagian, iaitu:
-2 muka surat sebelum solat fardhu
-2 muka surat selepas solat fardhu

Dengan beristiqamah melakukannya pada setiap kali solat fardhu selama 30 hari, insyaALLAH kita bakal mengkhatam 30 juzuk Al-Quran dalam tempoh sebulan.

Buat masyarakat bukan `Arab seperti kita ini, sebaik-baiknya sertailah bacaan Al-Quran itu dengan membaca sekali dengan maknanya. Semoga kita mendapat manfaat yang banyak apabila memahami maksud ayat-ayat suci Al-Quran.  Tidak hanya membacanya seperti biasa yang kita lakukan, tetapi membacanya sambil memahami maksud tersirat dan tersurat. Doa supaya saya juga dapat mengamalkannya. Jom amalkan tips ini, semoga Al-Quran menjadi pembela kepada kita di kehidupan Akhirat Insyallah. Minta di jauhkan Al-Quran menjadi pendakwa kepada kita.

No comments:

Post a Comment