Wednesday 25 July 2012

Cara Menentukan Waktu Berbuka Bagi Orang Musafir

Menurut fatwa Syeikh ‘Athiyah Saqar Rahimahullah (bekas pengerusi Lujnah Fatwa al-Azhar). Seorang yang bermusafir sebagaimana juga orang lain yang tidak bermusafir- ia hendaklah berbuka apabila telah tiba malam (yakni telah jelas terbenam matahari). Ini kerana Allah berfirman (bermaksud) : “Kemudian sempurnakanlah puasa hingga (tiba) malam (yakni terbenam matahari)” (al-Baqarah : 187).
Dalam hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim diceritakan Nabi sAW bermusafir di bulan Ramadhan bersama sahabatnya. Apabila matahari terbenam, baginda meminta seorang lelaki menyediakan makanan untuknya. Bila telah disediakan, baginda minum sambil berkata dengan tangannya menunjuk ke arah Timur dan Barat : “Apabila matahari telah terbenam dari arah sana (arah Barat) dan datang malam dari arah sana (yakni Timur), maka orang berpuasa bolehlah berbuka” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim dari Umar ra).
Jadi, berdasarkan ayat al-Quran dan hadis tersebut, seorang yang berpuasa tidak harus berbuka kecuali apabila telah tiba malam dan malam tiba dengan terbenam matahari.Selama orang yang berada di atas kapal terbang tidak melihat malam (yakni ia masih melihat siang) tidak harus ia berbuka. Apa yang akan berlaku jika ia bermusafir ke Timur, maka siangnya semakin pendek dan tempoh puasanya juga akan jadi singkat. Dan jika ia menuju ke arah Barat, siang dan puasanya akan jadi panjang. Arah mana pun yang ia tujui (sama ada Timur atau Barat), yang dijadikan perkiraan untuk berbuka ia dengan tibanya malam (terbenam matahari), bukan merujuk kepada waktu di tempat ia bertolak atau waktu di tempat tujuannya atau waktu semasa di Negara/kawasan yang dilalui oleh kapal terbangnya.
Jika berpuasa menyukarkan bagi orang yang menuju ke Barat, kerana masa berpuasa yang menjadi lebih panjang, harus ia meninggalkan puasa atas sifatnya sebagai seorang musafir dan kemudian mengqadhanya selepas Ramadhan.

No comments:

Post a Comment